PROGRAM VAKSINASI TOK BATIN ORANG ASLI NEGERI SELANGOR

Oleh Roslan Rusly

Gombak- – Seramai 60 orang daripada masyarakat Orang Asli di Negeri Selangor menerima suntikan vaksin jenis Pfizer di Hospital Orang Asli Gombak, Selangor. Daripada jumlah itu, 27 orang adalah Tok Batin, manakala 33 orang lagi adalah warga emas, OKU, serta mereka yang disyaratkan untuk mengambil vaksin dan sukarelawan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) Orang Asli.

Peningkatan kadar masyarakat Orang Asli yang setuju menerima vaksin ini juga dapat dilihat setelah penubuhan Taskforce Covid-19 JAKOA yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang sentiasa memikirkan dan melaksanakan beberapa kaedah supaya maklumat benar mengenai vaksin ini dapat diterima oleh mereka.

KPLB dan JAKOA turut menyeru kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara untuk mendaftar pengambilan Vaksin Covid-19 yang sedang giat dijalankan oleh pihak kerajaan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pendaftaran boleh dibuat di aplikasi MySejahtera ataupun melalui bantuan pegawai JAKOA Daerah dan Negeri masing-masing. JAKOA sentiasa bersedia membantu masyarakat Orang Asli untuk mendaftar serta membawa masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman mengambil suntikan vaksin.